MASALAH OBESITI DAN KESAN PENGAMBILAN GULA BERLEBIHAN

Pasti ramai tidak menyedari peningkatan bilangan penyakit diabetes atau kencing manis dan obesiti yang berkait rapat dengan kesan pengambilan gula.

Pengambilan gula pada kadar berpatutan yang diperlukan tubuh tidak akan menjejaskan kesihatan. Ia hanya mengundang padah apabila pengambilan secara berlebihan yang menjadi punca masalah diabetes atau kencing manis, kerosakan ginjal, kardiovaskular, obesiti, kemurungan serta kerosakan gigi.

Sama seperti karbohidrat, gula ialah punca utama tenaga untuk tubuh. Gula bukan sekadar partikel kecil berkilat tetapi juga boleh diperoleh daripada sumber lain seperti seperti susu (laktosa) dan buah-buahan (fruktosa).

Malah semua perkataan yang berakhir dengan ‘ose’ (dalam bahasa Inggeris) adalah gula, misalnya glukose, sucrose (bahan pemanis) dan dextrose (rasa manis dalam madu).

Berikut ialah pelbagai jenis komplikasi penyakit akibat pengambilan gula secara berlebihan:

Obesiti dan kegemukan

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menganggarkan lebih 1 bilion penduduk dunia mengalami kegemukan ketika ini dan jumlah itu bakal mencecah 1.5 bilion pada 2015. Sekurang-kurangnya 20 juta kanak-kanak di bawah usia lima tahun mengalami kegemukan pada 2005.

Punca asas obesiti dan kegemukan ialah ketidakseimbangan antara pengambilan kalori dan penggunaan kalori.

Peningkatan global kegemukan dan obesiti ini disebabkan oleh perubahan diet dengan pengambilan lebih banyak makanan yang bergula dan berlemak tetapi rendah vitamin, mineral dan mikronutrisi lain.

Selain itu, ia juga disebabkan kurangnya melakukan aktiviti fizikal disebabkan kemajuan sistem pengangkutan awam yang menyebabkan ramai tidak lagi gemar berjalan kaki atau berbasikal yang dapat membakar kalori.

Tidak lama dulu, WHO juga melaporkan mengenai kajian di Afrika Selatan pada 2003 yang mendapati pengambilan gula yang tinggi menjadi penyebab utama obesiti dan karies gigi. Kira-kira 20 peratus kalangan dewasa mengalami masalah obesiti, manakala sembilan peratus kanak-kanak turut mengalami masalah sama.

Mengikut garis panduan WHO, kegemukan berlaku apabila Indeks Jisim Tubuh (BMI) lebih 25 dan mereka yang melebihi bacaan 30 dikategorikan sebagai obesiti.

Diabetes

Selain obesiti, pengambilan gula berlebihan ditambah dengan tabiat malas bersenam juga mendedahkan seseorang itu kepada pelbagai risiko kesihatan. Misalnya, gula boleh menjejaskan platelet darah yang mungkin menjadi punca masalah jantung. Malah, gula turut menjadi antara penyebab Diabetes Jenis Dua, tulang rapuh, masalah ginjal, hati, kemurungan serta turut dikaitkan dengan tumor barah.

Sekadar perbandingan, pada 1996 seramai 6.5 peratus rakyat Malaysia berusia lebih 30 tahun disahkan menghidap diabetes. Sedekad kemudian, jumlah itu meningkat kepada 9.5 peratus. Lebih menakutkan, pada tahun sama dianggarkan kira-kira 1.5 juta orang yang berusia melebihi 18 tahun disahkan sebagai penghidap diabetes.

Malah, dalam tempoh 10 tahun akan datang, kira-kira 25 peratus warga Malaysia bakal menghidap diabetes jika tiada sebarang usaha pencegahan dibuat.

Walaupun diabetes dikaitkan dengan faktor genetik tetapi mengubah cara hidup mampu mencegah diabetes. Dari sudut perubatan, diabetes adalah kegagalan tubuh memproses gula dan kegagalan untuk menyingkirkannya dari salur darah. Justeru, kadar gula yang banyak dalam darah meningkatkan risiko sakit jantung dan strok atau angin ahmar, selain menyebabkan ginjal terjejas. Kadar gula yang tinggi juga menjejaskan sistem tubuh hingga menyebabkan buta.

Jangkitan kulat

Setiap satu sudu gula berupaya menekan sistem imun tubuh hingga enam jam lamanya. Gula juga menggalakkan pertumbuhan kulat di luar kawalan dalam sistem pencernaan. Kulat dikenali ‘candida albicans’ boleh merebak ke organ dalaman dan sistem pernafasan. Simptom paling biasa jangkitan kulat ini ialah jangkitan yis, masalah pencernaan atau lelah.

Bagi sesetengah orang, gula lebih menggemukkan berbanding lemak. Malah di kalangan kanak-kanak dan remaja, punca kalori yang utama ialah minuman berkarbonat dan jus yang mengandungi kandungan gula tinggi. Gula dalam bentuk cecair lebih banyak menimbulkan masalah kerana kita cenderung untuk mengambilnya dalam jumlah berlebihan.

Diet yang dipenuhi dengan pengambilan makanan tinggi kalori akan menyebabkan obesiti dan diabetes. Data 2006 menunjukkan 21 peratus rakyat mengalami kegemukan dan 6.2 peratus lagi obesiti. Secara bersama, obesiti dan diabetes adalah faktor risiko utama masalah jantung.